Ahlan Bikum!

Saturday, September 4, 2010

Program Qiamullail Dan Gotong-Royong ISMA Sarawak Semarakkan Suasana Ramadhan

Laporan Program Qiamullail Dan Gotong-Royong ISMA Sarawak

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia satu aktiviti berbentuk kemasyarakatan iaitu “Program Qiamullail dan Gotong Royong ISMA Sarawak dengan kerjasama Masjid At-Taqwa, Kampung Gita, Kuching telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2010 yang lalu bertemakan “Menghayati Badar Al-Kubra dan Mendekati Masyarakat”

Peserta yang hadir terdiri daripada ahli ISMA Sarawak sekitar Kuching dan para pelajar daripada IPT berdekatan seperti UNIMAS, UITM, Swinburne dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) yang berjumlah hampir 100 orang pelajar. Program bermula pukul 6.00 petang, peserta-peserta mula berkumpul di dataran hadapan Masjid At-Taqwa. Menurut YDP ISMA Sarawak, Ust Hj Mohd Nazri Mohd Nor, tujuan program ini diadakan adalah untuk membawa para pelajar dan ahli ISMA menghayati bulan Ramadhan dengan amal ibadah di samping membawa mereka mendekati dan berkenalan masyarakat setempat yakni sebagai salah satu amal dakwah. Disamping itu, program ini juga dapat merapatkan ukhwah antara para asatizah ISMA Sarawak dengan para pelajar IPT. Majlis bermula dengan bacaan tahlil bersama Tuan Imam Ust Hasyim Man dan disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk. Makanan berbuka puasa telah disediakan untuk 250 orang telah disumbangkan oleh masyarakat setempat yang bermurah hati.

Pada malamnya, majlis diteruskan dengan solat isyak dan tarawikh berjemaah sebanyak 20 rakaat. Selesai solat terawikh, tadarus al-quran telah diadakan dan disusuli dengan aktiviti taaruf untuk merapatkan ukhwah sesama peserta.

Pada pukul 12 malam para peserta semua tidur bersama untuk persediaan sebelum qiamullail. Lebih kurang pada pukul 2.15 pagi, para peserta dibangunkan untuk qiamullail. Dimulakan dengan dzikir kemudian solat tahajjud, taubat, tasbih dan hajat yang diketuai oleh Imam Masjid at-Taqwa, Ust. Hasyim Man. Pada pukul 4.15 pagi makanan sahur telah siap disediakan oleh pihak masjid untuk jemaah yang berjumlah 600 orang.

Jemaah fokus mendengar pengisian

Selesai solat subuh berjemaah, program diteruskan dengan sesi ceramah Badar al-Kubra oleh YDP ISMA Sarawak, iaitu Ust. Mohd Nazri dengan penuh semangat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk. Majlis kemudiannya diteruskan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Masjid at-Taqwa. Peserta-peserta telah dibahagikan kepada beberapa zon pembersihan di sekitar masjid dan setiap zon dibekalkan dengan beberapa peralatan pembersihan. Sebaik sahaja peserta-peserta dipecahkan mengikut zon masing-masing, mereka mula sibuk melakukan tugas masing-masing seperti menyapu kawasan halaman, mengutip sampah sarap, menyusun permaidani dan lain-lain.

Salah seorang peserta kelihatan tekun membersihkan masjid

Sebaik sahaja waktu menginjak ke pukul 9.00 pagi, majlis perasmian penutup pun dimulakan. Setelah ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, saudara Abd Ghafar bin Mahdi daripada Kelab Remaja ISMA (KRIM), ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh YDP ISMA Sarawak, Ust Mohd Nazri Mohd Nor. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program qiamullail dan gotong royong komuniti ini.

Menyemai semangat kerjasama dalam melakukan kebajikan

Sebelum majlis berakhir Ust Nazri telah memberi memberi nasihat kepada semua peserta agar dapat belajar melakukan amal dakwah bagi mendekati masyarakat melalui program ini sebagai salah satu sarana dakwah ISMA untuk mewarnai masyarakat dengan nilai-nilai Islam disamping berharap agar semua peserta dapat istiqamah dalam mengikuti program tarbiyah ISMA terutama usrah dan halaqah.


Liqa penutupan sebelum majlis berakhir

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya walaupun julung kalinya diadakan oleh ISMA Sarawak. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat bahkan membawa ahli ISMA mendekati dan mengenali masyarakat setempat yang berbilang kaum dan etnik di Sarawak ini.

Oleh: Muhd abd Mun’aim Mohd Idrus






No comments:

Post a Comment