Ahlan Bikum!

Saturday, November 6, 2010

Tinggal beberapa hari lagi - Ferdaus Tahar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah yang diberkahi dan baik.

Doa-doa Kita untuk dipertemukan dengan bulan Ramadhan, bulan Rahmah dan Keberkatan telah dimakbulkan Allah dan kita telah jauh meninggalkan bulan keberkatan itu.

Kita maklum dengan kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan, adakah kita maklum dengan kelebihan 10 hari terawal Zulhijjah?



Ada Apa Dengan Zulhijjah?

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.
Para sahabat baginda bertanya, "Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)?"
Ujar Baginda, "Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)” [HR Bukhari]

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. [HR Ahmad]

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.




Apakah yang baik dilakukan pada 10 hari yang hebat ini?

Saya menyenaraikan 10 perkara!

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

p/s: Sori terlebih panjang sudah.. Hehe. Tabung Qurban dan sedekah di Gaza, Palestin akan ditutup 4 hari sebelum hari raya Qurban. Bolehlah menghubungi mana-mana wakil untuk urusan borang dan transaksi jika berminat =)

Selamat beramal dan doakan saya =)

Ferdaus Tahar
Penyelaras Projek Qurban di Gaza
ISMA Eropah
Sekretariat Luar Negara Aman Palestin

Tuesday, October 12, 2010

Sekitar DASAR 3

Pada 9 dan 10 Oktober baru-baru ini, ISMA Sarawak telah menganjurkan program Daurah Sarawak, atau singkatannya DASAR buat kali yang ke-3. Program telah diadakan di Dewan Seminar Pejabat Hikmah Kuching dengan dihadiri oleh kira-kira 40 peserta lelaki dan 40 peserta wanita dari pelbagai institusi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UiTM Kota Samarahan, Swinburne University, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) dan beberapa ikhwah akhawat pekerja.

DASAR kali ini menampilkan Ustaz Anwar bin Soleh sebagai penceramah. Beliau merupakan ahli jawatankuasa HRD ISMA Pusat dan Yang di-Pertua ISMA Daerah Hulu Langat. Pengisian beliau yang begitu bersemangat dan santai banyak menekankan kepentingan tarbiyah dan amal Islam dalam membentuk generasi qur`ani dan masyakarat Muslim. Selain itu, program turut diisi dengan slot latihan dalam kumpulan (LDK) yang membincangkan permasalahan dan strategi dakwah di IPT masing-masing dan slot riadhah. Program tamat pada hari Ahad kira-kira jam 12 tengah hari.


Sebahagian daripada peserta yang fokus mendengar pengisian




Antara ikhwah Kolej Sains Kesihatan Bersekutu yang turut hadir


Peserta menerangkan hasil perbincangan masing-masing dalam LDK



Tidak ketinggalan ikhwah KSKB turut berkongsi idea


Wakil Pusat Pengajian Pra-Universiti UNIMAS siap dengan strategi masing-masing


Aktiviti santai LDK diharapkan dapat mencambah idea-idea baru


Kembali untuk pengisian pada sebelah malam


Pengisian terakhir daripada Ustaz Anwar Soleh


Ikhwah menyanyikan lagu tema pembakar semangat


Pengerusi bekerja keras memastikan kelancaran program tidak terganggu

Adalah diharapkan agar Daurah Sarawak (Dasar) kali ke-3 ini dapat memberikan cetusan idea baru, melebarkan fikrah ikhwah, dan meninggikan tsaqafah dakwah para peserta. Sehingga berjumpa lagi dalam Dasar yang seterusnya!

Disediakan oleh:

Ahmad Hisyam b Sabrani

Thursday, October 7, 2010

Ceramah Perdana Aman Palestin


16 Oktober 2010, bakal diadakan Ceramah Perdana Aman Palestin bersempena dengan Pembukaan Pejabat Aman Palestin Cawangan Sarawak yang terletak di Matang Jaya. Siri ceramah ini menampilkan dua penceramah, iaitu Puan Hajah Hasimah bt Salleh, Perunding Aman Palestin Berhad dan Ahli Lembaga Amanah Aman Palestin Berhad, dan penceramah kedua, Tuan Haji Zaini b Awang, Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Dana. Beliau juga terlibat sepenuh masa dalam Aman Palestin sebagai Pengarah Projek dan Latihan. Antara aktiviti-aktiviti lain yang bakal menarik pengunjung ialah Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh I-Medik pameran barangan dan jualan. Jadi apa tunggu lagi? Hadirkan diri selepas Maghrib di Masjid At-Taqwa, Kampung Pinang Jawa, Matang, Kuching.


Tuesday, October 5, 2010

Sekitar Jamuan Idulfitri ISMA

Pada 26 September 2010 yang lepas, ISMA Sawarak telah mengadakan satu majlis Jamuan Idul Fitri bagi meraikan hari yang lebaran yang mulia bersama-sama dengan pimpinan dan ahli-ahli ISMA Sarawak. Majlis ini telah diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan bermula pada jam 4 petang sehingga jam 9 malam. Aktiviti bermula seawal jam 4 petang sesudah solat asar dengan penyediaan barang-barang untuk BBQ. Bagi melancarkan aktiviti program, beberapa orang peserta telah ditugaskan untuk menguruskan BBQ. Peserta yang tidak terlibat dengan aktiviti masakan telah mengadakan ta’aruf ringkas dan disusuli dengan aktiviti lakonan ringkas. Manakala peserta muslimat pula menguruskan aktiviti NAZIM di dalam dewan. Selepas solat maghrib, majlis secara rasminya dibuka dengan kata-kata aluan daripada pengerusi majlis dan disusuli dengan ucapan dari Ustaz Nazri selaku YDP ISMA Sarawak. Setelah tamat ucapan daripada Ustaz Nazri, semua hadirin yang hadir dijemput untuk menjamu selera. Dalam masa yang sama, majlis diteruskan dengan aktiviti seperti cabutan bertuah, persembahan daripada kanak-kanak dan persembahan nasyid dari kumpulan I-Medik (terdiri daripada ikhwah perubatan Unimas). Majlis ditutup dengan sesi bergambar bersama-sama untuk kenang-kenangan dan majlis tamat pada jam 9 malam.



Sebahagian aksi ikhwah semasa BBQ



Gambar kenangan Jamuan Idul Fitri 2010
ISMA Cawangan Sarawak


Disediakan oleh,

Mohd Hanif Bin Mohd Shaidi

Setiausaha Jamuan Idul Fitri 2010


Tuesday, September 21, 2010

Sirah Muzikal


Mari saksikan Teater Sirah Muzikal terbaru yang bakal menyingkap kisah-kisah sirah pembangun jiwa. Juga menampilkan Nazrey Johani, Muadz, kumpulan nasyid Nowseeheart dan Far-East. Tiket-tiket boleh dibeli pada harga yang berlainan. Rujuk poster untuk maklumat lanjut.

Monday, September 20, 2010

Jamuan Idulfitri ISMA

Syawal kembali setelah cukup sebulan kita melaksanakan kewajipan puasa Ramadhan. Pada pagi raya yang barakah, baginda Nabi dan para sahabat sentiasa mengucapkan antara satu sama lain dengan ucapan ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’, ertinya “Semoga Allah menerima amal kami dan amal kalian.” Ucapan ini adalah suatu bentuk doa semoga Allah menerima amal kita sekalian pada bulan Ramadhan yang baru berlalu.

Hari raya adalah hari kemenangan bagi umat Islam. Anugerah Allah bagi kaum muslimin yang berjaya melaksanakan amal puasa dengan penuh ihsan dan mengharapkan keampunan. Semoga kita termasuk dalam golongan yang layak menerima anugerah Allah ini. Biarlah hari raya disambut dengan penuh budaya keislaman dan jauh dari unsur-unsur non-Islami yang cuba merosakkan citra dan esensi hari raya tersebut.

Atas maksud itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sarawak mengadakan majlis jamuan Idul Fitri bertujuan merapatkan ukhuwwah sesama ahli di samping cuba menghayati erti hari raya yang sebenar.

Sunday, September 19, 2010

DASAR 3


Setelah berjaya melaksanakan DASAR ke-2, kini DASAR kembali buat kali yang ke-3. Program kali ini turut menampilkan pengisi yang didatangkan khas dari Jawatankuasa ISMA Pusat. Selain slot pengisian, program ini turut menyediakan slot latihan dalam kumpulan (LDK) untuk memberi pelatihan kepada para peserta. Dalam fasa awal penapakan ISMA di bumi Sarawak, program daurah seumpama ini dilihat sebagai sebuah program yang amat penting dalam menyiapkan ahli-ahlinya agar lebih bersedia dengan pelbagai tribulasi yang bakal dihadapi sepanjang melalui liku-liku jalan dakwah ini. Semoga DASAR mampu memberikan bekal yang diperlukan oleh setiap da’ie, selain menjadi medan mengukuhkan ukhuwwah sesama ahli.

Saturday, September 4, 2010

Ahli ISMA Sarawak Jayakan Kempen Ramadhan untuk Palestin dengan Kerjasama JPNS

Ramadan for Palestine Campaign in schools to instill caring spirit

BORNEO POST- September 4, 2010, Saturday



KUCHING: The Ramadan for Palestine campaign in schools aimed to instill caring spirit among students to help those in need.State Education director Mortadza Alop said the main objective of the programme was to educate students on the suffering faced by Palestinians, and the campaign was a great way to remind Malaysians to be more caring individuals.

Mortadza who was speaking during the Ramadan donation to Palestine event at Sekolah Menengah Teknik Sejingkat yesterday also urged everyone not just to carry out such gesture during the holy month, but on a continuous basis.

“This programme is a tool to remind us not to neglect what is happening around us, especially issues involving peace and sovereignty.”

Meanwhile, Aman Palestin Berhad Sarawak advisor Mohd Nazri Mohd Nor said their efforts to assist the Palestinians should not solely be seen as a religious effort, but also humanity, apart from promoting the spirit of love towards our own country.

The event yesterday witnessed a mock cheque for RM14,707.45, collected from donation drive at participating schools being handed over to Aman Palestin Berhad.

Apart from that, the RM1 a day campaign to Palestine being held in schools had encouraged students to get involve in charitable activities while at the same time educating them on the importance of saving.

Also present at the event yesterday was SMT Sejingkat principal Abdul Munap Syeikh Abdul Kadir.

Program Qiamullail Dan Gotong-Royong ISMA Sarawak Semarakkan Suasana Ramadhan

Laporan Program Qiamullail Dan Gotong-Royong ISMA Sarawak

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia satu aktiviti berbentuk kemasyarakatan iaitu “Program Qiamullail dan Gotong Royong ISMA Sarawak dengan kerjasama Masjid At-Taqwa, Kampung Gita, Kuching telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2010 yang lalu bertemakan “Menghayati Badar Al-Kubra dan Mendekati Masyarakat”

Peserta yang hadir terdiri daripada ahli ISMA Sarawak sekitar Kuching dan para pelajar daripada IPT berdekatan seperti UNIMAS, UITM, Swinburne dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) yang berjumlah hampir 100 orang pelajar. Program bermula pukul 6.00 petang, peserta-peserta mula berkumpul di dataran hadapan Masjid At-Taqwa. Menurut YDP ISMA Sarawak, Ust Hj Mohd Nazri Mohd Nor, tujuan program ini diadakan adalah untuk membawa para pelajar dan ahli ISMA menghayati bulan Ramadhan dengan amal ibadah di samping membawa mereka mendekati dan berkenalan masyarakat setempat yakni sebagai salah satu amal dakwah. Disamping itu, program ini juga dapat merapatkan ukhwah antara para asatizah ISMA Sarawak dengan para pelajar IPT. Majlis bermula dengan bacaan tahlil bersama Tuan Imam Ust Hasyim Man dan disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk. Makanan berbuka puasa telah disediakan untuk 250 orang telah disumbangkan oleh masyarakat setempat yang bermurah hati.

Pada malamnya, majlis diteruskan dengan solat isyak dan tarawikh berjemaah sebanyak 20 rakaat. Selesai solat terawikh, tadarus al-quran telah diadakan dan disusuli dengan aktiviti taaruf untuk merapatkan ukhwah sesama peserta.

Pada pukul 12 malam para peserta semua tidur bersama untuk persediaan sebelum qiamullail. Lebih kurang pada pukul 2.15 pagi, para peserta dibangunkan untuk qiamullail. Dimulakan dengan dzikir kemudian solat tahajjud, taubat, tasbih dan hajat yang diketuai oleh Imam Masjid at-Taqwa, Ust. Hasyim Man. Pada pukul 4.15 pagi makanan sahur telah siap disediakan oleh pihak masjid untuk jemaah yang berjumlah 600 orang.

Jemaah fokus mendengar pengisian

Selesai solat subuh berjemaah, program diteruskan dengan sesi ceramah Badar al-Kubra oleh YDP ISMA Sarawak, iaitu Ust. Mohd Nazri dengan penuh semangat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk. Majlis kemudiannya diteruskan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Masjid at-Taqwa. Peserta-peserta telah dibahagikan kepada beberapa zon pembersihan di sekitar masjid dan setiap zon dibekalkan dengan beberapa peralatan pembersihan. Sebaik sahaja peserta-peserta dipecahkan mengikut zon masing-masing, mereka mula sibuk melakukan tugas masing-masing seperti menyapu kawasan halaman, mengutip sampah sarap, menyusun permaidani dan lain-lain.

Salah seorang peserta kelihatan tekun membersihkan masjid

Sebaik sahaja waktu menginjak ke pukul 9.00 pagi, majlis perasmian penutup pun dimulakan. Setelah ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, saudara Abd Ghafar bin Mahdi daripada Kelab Remaja ISMA (KRIM), ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh YDP ISMA Sarawak, Ust Mohd Nazri Mohd Nor. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program qiamullail dan gotong royong komuniti ini.

Menyemai semangat kerjasama dalam melakukan kebajikan

Sebelum majlis berakhir Ust Nazri telah memberi memberi nasihat kepada semua peserta agar dapat belajar melakukan amal dakwah bagi mendekati masyarakat melalui program ini sebagai salah satu sarana dakwah ISMA untuk mewarnai masyarakat dengan nilai-nilai Islam disamping berharap agar semua peserta dapat istiqamah dalam mengikuti program tarbiyah ISMA terutama usrah dan halaqah.


Liqa penutupan sebelum majlis berakhir

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya walaupun julung kalinya diadakan oleh ISMA Sarawak. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat bahkan membawa ahli ISMA mendekati dan mengenali masyarakat setempat yang berbilang kaum dan etnik di Sarawak ini.

Oleh: Muhd abd Mun’aim Mohd Idrus






Thursday, August 12, 2010

Daurah Sarawak ke-2



Daurah Sarawak kini kembali untuk siri yang ke-2. Menampilkan muwajjih jemputan, Ustaz Aziziee b Hassan, graduan Universiti Jordan. Sekarang sedang memegang portfolio Yang di-Pertua ISMA Negeri Sembilan dan HRD ISMA Pusat. Jangan lepaskan peluang ini untuk menambah tsaqafah dakwah anda! 13-15 Ogos 2010 di Dewan Suarah Kota Samarahan.

Monday, August 2, 2010

Rehlah Santubong 2010



Mari lengkapkan salah satu daripada muwasofat tarbiyyah anda dengan menyertai Rehlah Santubong 2010 yang bakal berlangsung Sabtu dan Ahad ini. Menjadi kebanggaan negeri Sarawak, gunung Santubong telah sekian lama menjadi lokasi pendakian para pendaki seluruh dunia. Berlantaikan Pasir Pandak yang putih sudah tentu mendekatkan anda dengan Kebesaran ciptaan Allah SWT. Anda pasti merasai pengalaman lain daripada yang lain setelah menyertai rehlah kali ini. Semoga ukhuwah yang terbina semakin mantap dengan penganjuran rehlah kali ini. Jadi apa lagi?

Program SMART Ramadhan 2010



Sempena menyambut bulan ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi, maka ISMA sarawak telah merencana untuk mengadakan program SMART Ramadhan yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada ikhwah dan akhwat mengenai persediaan sebelum ramadhan dan informasi-informasi tentang ramadhan dariapda sudut syariah, fiqh dan perubatan. Dengan adanya program ini diharapkan akan dapat membangkitkan rasa semangat untuk menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih bermakna dariapda sebelumnya melalui amal ibadah dan penghayatan peristiwa-peristiwa hebat dalam sejarah umat islam di dalam bulan ramadhan. Tambahan pula, penceramah yang akan ditampilkan adalah daripada kalangan muwajjih ISMA Sarawak yang mempunyai kepakaran di dalam topic yang akan dibentangkan nanti. Iaitu Ust. Mohd Nazri, Ust. Mejar Muntaha dan Dr.Khairol. Semoga program ini akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.InsyaAllah.

Butir – butir maklumat tentang program;

Tarikh : 7/8/2010 (sabtu)

Masa : 8am- 4pm

Tempat : Bilik Seminar Kolej Cempaka, UNIMAS. Kota Samarahan, Sarawak.

Anjuran : ISMA Sarawak dengan kerjasama AJK Kerohanian Kolej Cempaka

Mari sama-sama membuat persediaan untuk menghadapi Bulan Tadhiyah dan Tarbiyyah yang bakal menjelang tidak lama lagi!


Wednesday, July 28, 2010

Kempen 1% Untukmu Palestin



Kempen 1% Untukmu Palestin

1% daripada wang tajaan atau pinjaman sangatlah kecil nilainya untuk disumbangkan demi membantu perjuangan dan mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat Palestin jika dibandingkan dengan rakyat Palestin yang berjuang dengan nyawa mereka demi menjaga kedaulatan negara mereka dan kesucian Masjidil Aqsa. Oleh sebab atas dasar kemanusiaan, pelajar fakulti yang bukan beragama Islam juga boleh turut serta menyumbang untuk kempen ini. Wang sumbangan ini akan disalurkan terus ke akaun Aman Palestin. Kempen 1% Untukmu Palestinku adalah satu inisiatif pihak UPPS untuk setiap semester di Kolej Perubatan, Unimas dalam rangka menghidupkan ukhuwwah Islamiyyah tidak mengira batasan negara dan bangsa.

Butir-butir adalah seperti berikut:

Tarikh Pelancaran Kempen : 24 Julai 2010

Masa : 9 pagi

Tempat : Auditorium A, Fakulti Perubatan dan Sains

Kesihatan, Unimas

Jangka Masa Kempen : 24 Julai 2010 - 14 Ogos 2010 (1 bulan)

Semoga kempen ini mencapai objektif yang digariskan dan dapat membantu pihak universiti melahirkan pelajar Muslim Perubatan dan Kejururawatan yang sangat sensitif dan peka dengan isu umat Islam yang berlaku di serata dunia dan sanggup berkorban harta demi memperjuangkan agama tercinta.